Monday, 4 February 2013

3 perkara yang dibawa selepas mati

   Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainn
ya)


Pertama "Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti:

1. Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.

2.Mendirikan - atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.

3. Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.

4. Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.

5. Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya.


   Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf di negara masing-masing.Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.Sedekah atau sumbangan yang mendorong kearah kebaikan tidak akan memutuskan amalan kita malah menambahnya. Contoh sumbangan tersebut ialah sumbangan pembinaan masjid. Walaupun pemberi sedekah telah meninggal dunia, tetapi daripada sedekahnya itu, sebuah masjid dapat dibina. Danmasjid itu digunakan untuk membuat sesuatu kebaikan. Maka si pemberi hadiah itu turut mendapat pahala sebagaimana dia (orang yang menggunakan masjid) membuat kebajikan. Dan mengapa Allah menjanjikan sedemikian? Kerana tidak ramai orang yang sanggup membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Disebabkan harta, manusia sanggup berkelahi. Disebabkan harta, manusia sanggup membunuh sesama manusia. Dan disebabkan harta, manusia sanggup memutuskan hubungan sesama mereka

Perintah infak harta yang ada
                                         عَنِ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ 
                                   اِنَّ اللهَ قَالَ لِى اَنْفِقْ اُنْفِقُ عَلَيْكَ
                                 رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم
                     يَمِيْنُ اللهِ مَلاى لا يَغِيضُهَا سَحَّاءُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَا
                          رَأَيْتُمْ مَا اَنْفَقَ مُذْ خَلَقَ السَّمَاءَ وَالأرْضَ
                     فَإِنَّهُ لَمْ يَغِضْ مَا فِى يَمِيْنِهِ قَالَ وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ
                            وَبِيَدِهِ الاخْرَى الْقَبْضُ يَرْفَعُ وَيَخْفِضُ

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Sesungguhnya Allah berfirman kepadaku :
"Nafkahkanlah hartamu nanti Aku akan memberi pula kepadamu!"
Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Tangan kanan (sumber pemberi ) Allah selalu penuh, selalu mengalir,
tiada berkurang baik siang atau malam.
Tidakkah kamu ketahui apa yang dinafkahkan Allah semenjak
Dia menjadikan langit dan bumi, sesungguhnya tidak kurang apa
yang ditangan Allah (sumber pemberian). Singgahsana Allah di atas air.
Di tanganNya yang sebelah menahan pemberian , meninggikan dan merendahkan."
Hadis sahih riwayat Muslim


            
Kedua: "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.Ilmu mempunyai banyak jenis. Contohnya ilmu dunia, ilmu akhirat dan ilmu hitam. Tetapi, ilmu yang tidak memutuskan amalan kita ialah ilmu yang memberi kebaikan sama ada di dunia atau di akhirat. Ilmu seperti ini apabila diamalkan oleh orang yang masih hidup (orang yang kita didik) untuk kebaikan, kita juga turut sama mendapat pahala tersebut. Itulah yang dapat menyelamatkan kita di dalam kubur. Contohnya membaca al- Quran. Apabila kita mengajar seseorang itu membaca al–Quran, dan disebabkan apa yang diajarkan itu membolehkan dia (orang yang belajar) membaca al-Quran dengan betul serta dapat bersolat, maka pahala kita sama seperti dia walaupun kita hanya mengajarnya membaca surah al-Fatihah dan dia mendalami ilmu–ilmu tersebut dengan org lain.Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.
Ilmu juga merupakan makanan pokok bagi jiwa yang akan menjadi hidup dan jasad akan memiliki adab. Oleh itu, Islam mewajibkan umatnya, baik laki-laki maupun perempuan, untuk menuntut ilmu.Dan hal ini telah ditegaskan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sabdanya,
       
            طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ 

              “Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim.”
                                              (hadis riwayat Ibnu Majah)

Ketiga: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya"

Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya.Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu.Didikan agama sejak anak–anak masih kecil perlu bagi menjadikan mereka (anak–anak) menjadi anak yang soleh. Kita dapat melihat betapa anak–anak sekarang menjadi rosak gara–gara masalah sosial. Gejala sosial semakin menjadi–jadi. Pembuangan bayi sering menjadi perhatian akhbar–akhbar tempatan malah indeksnya juga semakin meningkat saban tahun. Di bandar–bandar besar, anak–anak gadis yang mendakwa dirinya Islam sudah tidak mengambil berat tentang aurat. Mereka membuka aurat mereka di khalayak ramai sehingga menjolok mata lelaki–lelaki. Tidak cukup dengan perbuatan itu, mereka membonceng motosikal bersama teman lelaki mereka sambil berpeluk-pelukan. Lagak mereka sama seperti orang kafir yang menolak Islam. Adakah anak–anak seperti ini yang Allah dengar doanya? Dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap mereka? Jawapannya sangat mudah.IBUBAPA lah yg bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh anak–anak mereka. Dengan memberi didikan awal kepada anak–anak, mereka akan menjadi orang yang soleh dan seterusnyamendoakan kesejahteraan kita sama ada kita masih hidup ataupun telah pergi meninggalkan dunia kerana Allah mendengar setiap doa anak yang soleh.


Bersedekah untuk ibu yang meninggal

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلا أَتَى النَّبِى صلعم فَقَالَ يَارَسُولَ اللهِ

اِنَّ أُمِّى افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ وَاَظُنُّهَا لَوْ تَلَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ

اَفَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

Dari Aisyah r.a. (menceritakan)
"Bahawa ada seorang lelaki menemui Nabi .s.a.w. dan menanyakan : "Ya Rasulullah!
Sesungguhnya ibu saya meninggal dengan tiba-tiba dan dia tiada berwasiat.
Saya menduga kalau dia bisa berbicara tentu dia akan bersedekah.
Apakah dia akan memperoleh pahala, kalau saya menggantikannya?"
Nabi menjawab : "Ya (memperolehi pahala)".
Hadis sahih riwayat Muslim

Anak yang soleh tidak semestinya seorang ustaz atau Al-hafiz, tetapi jika anak itu dapat menghafalkan Al-Quran adalah yang terbaik bagi ibu bapanya.  Seterusnya seorang anak itu taat kepada perintahNya, meninggalkan semua laranganNya dan melaksanakan segala suruhanNya.Mereka juga akan menghadiahkan ayat-ayat suci al quran kepada ibu bapa mereka  sebagai tanda ingatan dan kasih sayang anak kepada ibu bapa mereka semasa ketiadaan mereka nanti dan menjaga nama baik keluarga,diri dan agama selama hidup di muka bumi ini.



كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),  serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).  (Surah Ali `Imran: 110)

No comments:

Post a Comment